Subsidi kerajaan untuk mestabilkan harga barang-barang keperluan asas semakin meningkat. Subsidi untuk menstabilkan harga produk petroleum sahaja dilaporkan melebihi 40 billion Ringgit Malaysia; pada tahap harga sekitar 100 dollar Amerika satu tong. Jumlah subsidi semakin meningkat apabila harga bahan mentah itu semakin naik saban hari. Percakapan dipasaran menyatakan harga 200 dolar Amerika bukan satu yang mustahil untuk dicapai dengan keadaan ekonomi Amerika yang semakin goyang. Selain bahan minyak mentah, harga-harga komoditi lain yang juga menerima subsidi kerajaan ikut naik. Antaranya ialah minyak masak, tepung beras dan senarainya semakin panjang. Subsidi ini dibayar samada secara langsung ataupun tidak. Ini termasuk pelepasan cukai dan lain-lain lagi.
Realitinya, selagi ekonomi Amerika dalam keadaan parah selagi itulah harga pasaran bahan mentah dan komoditi kian tidak terjamin. Harga produk ini hampir semuanya disebut dalam dolar Amerika. Maka, semakin turunnya nilai dolar Amerika maka semakin naiklah harga komoditi ini. Negara-negara pengeluar sudah pasti tidak mahu mengalami kerugian nilai produk mereka berbanding dengan penurunan nilai dolar Amerika tersebut. Maka tindakan yang paling logik ialah dengan menaikan harga barangan mereka. Akibatnya negara penggunalah yang menerima padah kerana negara-negara pengeluar komoditi tersebut hendak mengekalkan nilai pengeluaran produk dan komoiti mereka.
Senario di Malaysia.
Peningkatan subsidi menggunakan wang rakyat tidak masuk akal lagi. Lebih-lebih lagi apabila subsidi ini tidak dimanfaatkan kepada orang yang berhak menerimanya; bayangkan orang yang memandu kereta mewah turut sama membayar RM1.92 seliter sama seperti mereka yang di dalam golongan berpendapatan rendah. Sistem pengagihan yang ada sekarang tidak cekap dan sukar untuk kerajaan memantaunya. Sekiranya idea ini dapat menyelamatkan lebih dari 40 bilion ringgit hasil kerajaan, mengapa ia perlu diketepikan dan jadi bahan ketawa?
Kerajaan dengan Pak Menteri yang ada mesti sedar sudah tiba masanya untuk berfikir secara radikal untuk memantau fenomena ini. Ada pepatah English, “Give a man a fish and you feed him for a day, give a man a fishing rod and you feed him for life”. Ajar mereka cara menangkap ikan dan bukan mengajar makan ikan sahaja. Ilmu dan kemahiran yang mereka perolehi akan berpanjangan dan boleh menyelamatkan mereka. Pendek kata, latihan yang diberikan perlu menekan aspek kecekapan untuk menjamin kejayaan. Mari kita lihat satu contoh; mengapa hasil tanaman padi di utara tanah air agak rendah jika dibandingkan dengan hasil tanaman di kawasan Sabak Bernam dan Sekinchan di Selangor. Tak perlu nak pergi jauh untuk buat kajian ini.Tingkatkanlah kecekapan para petani yang ada wahai pegawai-pegawai Jabatan Pertanian. Pak Menteri tidak perlu fikir hendak buka kawasan baru dengan menghabiskan lagi 40 billion ringgit wang rakyat. Kawasan yang sedia ada kalau di lakukan secara efisyen boleh memberi hasil yang lebih banyak.
Seperkara lagi yang lebih penting untuk direnungkan kerajaan ialah untuk memperkemas lagi Kementerian Kebajikan Masyarakat dengan memberi nafas dan ‘re-branding’. Tugas tugas kementerian ini bukan lagi setakat membela nasib orang-orang daif sahaja, tetapi dengan nafas dan ‘branding’ baru boleh melihatkan subsidi yang dibayar kerajan benar-benar dimanafaatkan oleh orang-orang yang memerlukan.
Idea ini mungkin tidak praktikal pada segolongan orang dan mungkin akan jadi bahan ketawa. Tetapi memandangkan jika fenomena ini tidak diberi perhatian segera jumlah subsidi kerajaan akan terus meningkat. Kementerian Kebajikan Masyarakat yang ada berkait rapat dengan keja-kerja kebajikan perlu diberi tanggungjawab baru. Biarlah kerajaan buat pengambilan beratus-ratus lagi kakitangan penguatkuasa baru untuk menjayakan misi nasional ini. Biarlah kerajaan berbelanja 1 billion ringgit sebagai tambahan untuk melengkapkan keberkesanan tugas Kementerian Kebajikan Masyarakat ini untuk menentukan sistem subsidi baru boleh berkesan dan berjaya terhadap golongan yang memerlukan. Perbelanjaan 1 billion ringgit yang dibelanjakan kepada kementerian ini adalah lebih menjimatkan daripada membayar subsidi yang melebihi 40 billion ringgit, yang pasti akan meningkat berterusan. Wahai Pak Menteri semua, renung-renungkanlah. Rancangan ini boleh berjaya kalau ia dilaksanakan dengan semangat dan penuh komitmen.
Selamat maju jaya.
Tuesday, April 22, 2008
Senario Subsidi Kerajaan di Malaysia
Labels:
Barisan Nasional,
Ekonomi,
Inflasi,
Kerajaan Malaysia,
Pakatan Rakyat,
Politik,
Subsidi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment